Tuesday, September 15, 2009

Biasakan diri tak guna amah seberang

Biasakan diri tak guna amah seberang
Jami'ah Shukri

“LEBIH baik kaji naikkan gaji pekerja swasta yang ada serendah RM500 daripada kaji naikkan gaji amah. Jangan terlalu lebihkan orang luar daripada rakyat sendiri.” Itu antara kata-kata diluahkan melalui Rakan BH yang disiarkan akhbar ini semalam.

Ia reaksi kepada tindakan terbaru Kerajaan Indonesia yang mewajibkan setiap majikan di negara ini yang mahu memperbaharui pasport pembantu rumah warganya membayar gaji bulanan sebanyak RM600 berbeza dengan kadar sebelum itu antara RM500 hingga RM550.

Syarat itu termaktub dalam surat perjanjian terbaru antara majikan dan pembantu rumah bagi membolehkan perkhidmatan pembantu rumah digunakan semula. Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, yang mengesahkan perkara itu berkata, bermula 1 Januari lalu, majikan yang mahu memperbaharui pasport pembantu rumah mereka perlu mengikuti syarat itu.

“Sebelum 1 Januari 2009, kadar gaji pembantu rumah antara RM500 hingga RM550 dan berikutan ketetapan yang dibuat itu, mana-mana majikan yang mahu meneruskan perkhidmatan pembantu rumah itu perlu membayar gaji bulanan RM600,” katanya.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata beliau tidak tahu mengenai syarat itu kerana tidak pernah dibangkitkan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia, tetapi berjanji akan menyiasatnya secara terperinci.

Pengumuman terbaru itu muncul ketika isu menaikkan gaji pembantu rumah kepada RM800 sebulan masih hangat diperkatakan, selepas Duta Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar membuat saranan itu di depan 400 pekerja Indonesia, ketika majlis berbuka puasa, minggu lalu.

Subramaniam menyangkal syor kenaikan itu dan menegaskan tiada perbincangan berkaitannya dalam MoU antara Malaysia dan Indonesia yang ditandatangani pada 2007.

Bagaimanapun, Indonesia sudah melangkaui syarat perjanjian itu. Malah, mewajibkan majikan yang mahu memperbaharui pasport pembantu rumah warga negara itu membayar gaji bulanan RM600, berbeza kadar sebelum ini antara RM500 hingga RM550 sebulan.

Dalam tempoh jangka panjang, tindakan Indonesia itu nampak bijak kerana sejak Januari lalu, majikan dan pembantu rumah perlu menandatangani perjanjian bersetuju membayar RM600 sekiranya ingin menyambung khidmat mereka, tanpa menunggu struktur harga baru ditetapkan dalam MoU antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Persoalannya wajarkah tuntutan gaji baru sehingga RM800. Hakikatnya tindakan Indonesia sekarang dianggap sudah melampau dan menggambarkan sikap negara itu yang semakin ‘besar kepala’.

Tiada alasan relevan republik itu perlu menaikkan gaji amah kerana bukan saja, kadar tetap belum dicapai dalam MoU antara Malaysia dan Indonesia yang ditandatangani pada 2007, malah secara logiknya dalam situasi pasaran Malaysia, tuntutan gaji RM800 terlalu tinggi.

Raja Zulkepley bagaimanapun berpendapat kenaikan gaji RM600 dianggap munasabah dengan keadaan pasaran di negara ini, berbanding kadar RM800 yang disyorkan sebelum ini agak tinggi.

Katanya, ini tidak mencerminkan keadaan pasaran di negara ini, jika dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura, Hong Kong atau Asia Barat.

Baginya, rata-rata kualiti dan prestasi pembantu rumah dari Indonesia adalah kalangan mereka yang tidak berkemahiran sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan sungutan majikan.

“Pada prinsipnya, gaji dicadangkan tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini berdasarkan faktor berkenaan. Tetapi, bagi saya tuntutan kenaikan gaji munasabah ialah antara RM500 hingga RM600 sebulan.

“Kerajaan Indonesia tidak sepatutnya membandingkan gaji ditetapkan di Hong Kong dan negara Asia Barat sehingga mencecah RM1,700 sebulan kerana suasana pasaran mereka berbeza dengan taraf hidup lebih tinggi.

“Walaupun kadar gaji di Malaysia jauh lebih rendah, pembantu rumah mendapat pendapatan bersih dengan segala keperluan harian, tempat tinggal, makan dan minuman diberi percuma, berbanding negara lain menerima pendapatan kasar saja (pekerja kena menanggung kos makan, pakaian dan keperluan lain),” katanya.

Bagaimanapun, Zulkepley berkata, kemelut pembantu rumah itu perlu dibincangkan secara terperinci dengan menetapkan gaji yang bersesuaian dengan pasaran negara ini.

Sebagai langkah jangka panjang, katanya, kerajaan juga perlu menangani kemasukan warga asing secara haram dan ejen pembantu rumah individu untuk mengelak masalah sampingan lain seperti kewujudan sindiket haram, pembantu rumah lari dan masalah sosial.

“Kerajaan kena tegas dan haramkan pembantu yang melarikan diri bekerja dengan majikan lain serta mana-mana premis seperti restoran, juru jual dan sebagainya. Jika ini dibuat, isu pekerja warga asing yang tidak berkualiti akan dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, menganggap tindakan Kerajaan Indonesia itu melampau dan tidak setara dengan kualiti perkhidmatan disediakan kerana rata-rata pembantu yang dihantar ke sini adalah dari Gred E.

Katanya, berdasarkan kualiti perkhidmatan diberikan itu sewajarnya kadar sekarang kekal.

“Kita yakin isu kenaikan gaji ini tidak akan berkesudahan. Tuntutan kenaikan itu tidak terhenti di sini. Lambat laun gaji pembantu rumah ini tetap akan dinaikkan kerana permintaan yang tinggi dari Malaysia terhadap sektor pembantu rumah ini.

“Apa yang kita lihat, pembantu rumah Indonesia yang datang ke sini dari Gred E. Ini menyebabkan banyak masalah timbul. Tahap profesionalisme mereka juga rendah," katanya.

Oleh itu, katanya, Malaysia sepatutnya memboikot pengambilan pembantu rumah dari warga negara Indonesia sebagai pengajaran kepada republik itu.

1 comment:

  1. Maaf jika lewat pasan ini saya publikasikan dan sampaikan kisah sukses saya.
    saya seorang TKI DI MALAYSIA
    pengen pulang ke indonesia tapi gak ada ongkos
    sempat saya putus asa apalagi dengan keadaan susah
    gaji istri saya itupun buat makan sehari2. sedangkan hutang banyak
    kebetulan istri saya buka-buka internet Dan mendapatkan
    nomor MBAH KASSENG (0853-4288-2547) katanya bisa bantu orang melunasi hutang
    melalui jalan TOGEL dan dengan keadaan susah, terpaksa saya
    hubungi dan minta angka bocoran Toto/malaysia
    angka yang di berikan waktu itu 4D 
    ternyata betul-betul tembus 100% alhamdulillah dapat 269.jt Oleh Karna itu saya posting no HP MBAH KASSENG ini supaya saudarah-saudara ku di indonesia maupun di luar negri yang sangat kesulitan masalah ekonomi (kesusahan) jangan anda putus asa. Karna jalan masih panjang yang penting anda tdk malu atau takut menghubungi MBAH KASSENG. Semua akan berubah Karna kesuksesan ada pada diri kita sendiri. Yakin dan percaya bahwa itu semua akan tercapai berkat bantuan dari mbah AMIN.
    MBAH KASSENG
    NO: 0853-4288-2547 / +6285-342-882-547














    ReplyDelete